Kejohanan ‘The Ladies’ kembali untuk edisi 2026, LKY bawa visi ‘The Masters’ Asia

KEJOHANAN Golf The Ladies disahkan bakal kembali untuk edisi kedua yang dijadualkan berlangsung dari 1 hingga 3 Oktober 2026 di The Mines Resort & Golf Club.

Kejohanan yang memfokuskan kepada pemain golf wanita tempatan ini mengekalkan jumlah hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM100,000.

Ia sebagai tanda komitmen berterusan bagi menyediakan platform persaingan yang bermakna dalam menyokong pembangunan sukan golf profesional wanita di negara ini.

Kejohanan yang diilhamkan oleh Pengasas The Mines Resort & Golf Club, Tan Sri Lee Kim Yew ini dibina dengan cita-cita besar yang menjangkaui sekadar sebuah perlawanan biasa.

Visi beliau adalah untuk menubuhkan sebuah kejohanan golf wanita berprestij dari Malaysia yang mampu berkembang dan kelak diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Kami berharap suatu hari nanti, jika di Barat terdapat kejohanan sangat terkenal yang dipanggil 'The Masters', di Timur pula, yang berasal dari Malaysia, wujud sebuah kejohanan tersohor dinamakan 'The Ladies'. Itulah visi kami," kata Tan Sri Lee.

Penganjuran The Ladies juga meneruskan legasi kukuh The Mines dalam sukan golf wanita, yang mula terlakar apabila kelab berkenaan menjadi tuan rumah kepada Piala Dunia Golf Wanita yang menghimpunkan pemain terkemuka antarabangsa di Malaysia pada tahun 2000.

Pada edisi sulungnya pada tahun 2025, potensi bakat tempatan jelas terbukti apabila Liyana Durisic melakar sejarah muncul sebagai juara pertama.

Menerusi aksi 54 lubang, beliau menamatkan saingan dengan catatan 2-di bawah par, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM17,500.

Gelaran naib juara menjadi milik Jocelyn Chee, manakala Ng Jing Xuen meraih tempat ketiga.

Dengan mengekalkan mesej inspirasi "IT COULD BE YOU", penganjuran tahun ini bermatlamat untuk mencipta peluang, membina keyakinan, dan memberi ruang kepada bakat baharu untuk bersaing dengan pemain golf wanita terkemuka negara.

Kejohanan The Ladies menyasarkan untuk membuka laluan yang lebih jelas dari peringkat amatur ke persada profesional, sambil memberi inspirasi kepada lebih ramai gadis dan wanita di Malaysia untuk mengukir impian sebagai seorang juara. - GenGolf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *