SEEKOR ular pemakan tikus yang hampir maut selepas tertelan tiga biji bola golf berjaya diselamatkan menerusi satu prosedur rawatan kritikal di South Texas Avian & Exotic Hospital, San Antonio, Amerika Syarikat.
Reptilia tersebut dipercayai menceroboh sebuah reban ayam untuk mencari makanan. Walau bagaimanapun, disebabkan bentuk bola golf yang menyerupai telur ayam, ular berkenaan telah tersilap memakan ketiga-tiga bola tersebut yang diletakkan oleh pemilik reban sebagai cara merangsang ayam bertelur.
Memandangkan bola golf tidak boleh diproses oleh sistem penghadaman ular itu, keadaan tersebut boleh menyebabkan penyumbatan usus yang meragut nyawa jika tidak dirawat dengan segera.
Pasukan veterinar yang diketuai oleh pakar haiwan eksotik mengambil keputusan untuk mengeluarkan objek tersebut secara manual tanpa melakukan pembedahan invasif.
Menerusi prosedur itu, ular tersebut diletakkan di bawah pengaruh ubat bius yang kuat bagi merehatkan otot-otot badannya dan mengelakkan kesakitan.
Kemudian, doktor veterinar mengurut bahagian perut ular secara perlahan-lahan dan berhati-hati, menolak ketiga-tiga bola golf tersebut ke atas sepanjang saluran penghadaman sehingga keluar melalui mulutnya.
Prosedur yang mengambil masa beberapa minit itu berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi atau kecederaan pada organ dalaman reptilia tersebut.
Selepas bola golf terakhir berjaya dikeluarkan, ular berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulih sepenuhnya sebelum dilepaskan semula ke habitat asal.
Pihak hospital turut berkongsi maklumat kes ini di media sosial sebagai peringatan kepada pemilik ternakan ayam supaya berhati-hati apabila menggunakan bola golf di reban bagi mengelakkan kejadian serupa berulang pada haiwan liar.
Kejadian itu dipercayai berlaku pada September lalu. - GenGolf
