Kelab golf terkenal ‘buang’ Donald Trump

DONALD Trump 'kehilangan' namanya di sebuah kelab golf terkenal di New York City, tindakan yang sudah pastinya memberi tamparan hebat kepada Presiden Amerika Syarikat (AS) itu.

Bukan lagi rahsia bahawa Trump sangat meminati sukan golf melebihi segala-galanya dan sudah memiliki 16 padang golf di seluruh dunia. Namun, sebuah kelab golf di AS telah menurunkan dan memadamkan namanya.

Ogos lalu, Trump mendakwa beliau mencatatkan skor 70 (dua di bawah par) semasa memenangi kedua-dua kategori kejohanan kelab bagi bahagian 'senior' dan 'super senior' di kelab miliknya di Bedminster.

Namun, pemimpin berusia 80 tahun itu sememangnya terkenal dengan sikap kerap melanggar atau melonggarkan peraturan semasa bermain golf.

Trump kerap kali 'ditangkap' sedang bermain golf dalam pelbagai situasi, termasuk ketika isu-isu besar dunia sedang berlaku.

Namun, ekoran rusuhan ke atas bangunan Capitol AS pada 6 Januari 2021, pihak berkuasa New York City telah memutuskan untuk membatalkan kesemua kontrak pengurusan dengan Trump Organization.

Datuk Bandar New York City ketika itu, Bill de Blasio, mendakwa kontrak-kontrak tersebut — bagi mengendalikan Central Park Carousel, gelanggang luncur ais Wollman dan Lasker, serta yang paling utama, Padang Golf Ferry Point — boleh ditamatkan sekiranya pimpinan syarikat terbabit melanggar undang-undang.

De Blasio mendakwa tindakan Trump 'mencetuskan rusuhan' adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.

"Hakikat bahawa berlakunya rusuhan di Capitol AS adalah sesuatu yang tidak pernah kita saksikan dalam sejarah negara ini," kata de Blasio.

"Malah rusuhan itu tercetus kerana hasutan dan arahan Presiden AS dan ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan sebelum era Donald Trump."

Rusuhan pada 6 Januari itu telah mengorbankan empat nyawa, dengan lima lagi meninggal dunia selepas kejadian tersebut. Sekurang-kurangnya 174 pegawai polis telah diserang, dan 15 daripadanya dimasukkan ke hospital.

Kontrak-kontrak berkenaan bernilai AS$17 juta bagi pihak Trump. De Blasio menambah: "Kami tidak lagi akan menjalankan sebarang perniagaan dengannya. Di bawah kontrak, kami secara jelas mempunyai hak untuk menamatkan kontrak sekiranya tindakan jenayah telah dilakukan.

"Beliau tidak lagi akan mendapat keuntungan daripada hubungannya dengan New York City. Kami tidak akan membenarkannya."

Terletak di Bronx, Padang Golf Ferry Point merupakan padang golf milik bandar raya tersebut. Kontrak itu menyumbang sebahagian besar daripada pendapatan tahunan AS$17 juta yang dijana oleh syarikat berkenaan daripada operasi di bandar raya tersebut.

Wakil daripada Trump Organization menggelar tindakan itu sebagai diskriminasi berunsur politik dan menyatakan bahawa pihak bandar raya tidak mempunyai asas undang-undang yang sah. Mereka kemudiannya memfailkan saman bernilai puluhan juta dolar bagi menuntut ganti rugi penamatan kontrak serta kos penambahbaikan.

Padang golf Ferry Point kini dikendalikan oleh Bally's, sebuah korporat yang terkenal dalam mengendalikan kasino dan pertaruhan sukan. Bally's merancang untuk membuka dan mengendalikan salah satu daripada tiga kasino berlesen New York City di tapak Bronx tersebut dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Jemput follow media sosial Gen Golf di Facebook, TikTok dan Instagram!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *