GELAGAT comel seekor musang 'meminta' makanan daripada pasangan ibu dan anak yang sedang bermain golf di Farmington, New Mexico baru-baru ini, menjadi perhatian umum.
Ia susulan satu video yang memaparkan pemuda tersebut memberi biskut (crackers) kepada musang itu kini tular di internet.
"Seekor musang yang comel menghampiri seorang pemain golf di Farmington, New Mexico, dan diberikan ganjaran makanan atas keberaniannya," tulis ABC 7 Chicago dalam satu hantaran Instagram yang berkongsi video tular tersebut.
"Jamie Decker, yang merakam interaksi itu, berkata anak lelakinya baru sahaja membuat pukulan pertama (teed off) apabila dia menoleh dan melihat musang tersebut berdiri berhampiran."
Rakaman itu menunjukkan lelaki tersebut menyeluk begnya untuk mengambil sekeping biskut, lalu menghulurkannya kepada musang yang kemudiannya makan terus dari tangannya.
Haiwan tersebut kemudiannya terus datang semula untuk meminta lebih banyak makanan.
Walaupun niat pemain golf itu sememangnya baik, pakar tidak menasihatkan perbuatan memberi makan kepada haiwan liar.
Ini kerana haiwan tersebut boleh mula mengaitkan manusia dengan sumber makanan, yang berpotensi membawa kepada konflik antara manusia dan hidupan liar pada masa hadapan. - GenGolf
Jemput follow media sosial Gen Golf di Facebook, TikTok dan Instagram!
