BERMAZ Motor baru-baru ini melabuhkan tirai Kejohanan Golf Amal Mazda Tahunan ke-12 yang dianjurkan di Kelab Golf & Desa Glenmarie pada 9 dan 10 Oktober lalu.
Acara selama dua hari itu telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 200 pemain terdiri daripada rakan perniagaan, wakil kerajaan, pelanggan Mazda, serta peminat golf.
Kejohanan ini berfungsi sebagai platform pengumpulan dana utama bagi Dana Perubatan Mazda (MMF), sebuah inisiatif amal yang berdedikasi untuk memberikan bantuan perubatan dan sokongan kemanusiaan kepada golongan yang kurang berkemampuan di seluruh Malaysia.
Majlis makan tengah hari amal yang berlangsung pada 10 Oktober diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.

Baginda yang juga merupakan Penaung Diraja Dana Perubatan Mazda sejak tahun 2015 sentiasa menyokong usaha amal yang membawa perubahan bermakna kepada komuniti.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh beberapa tetamu kehormat, termasuk Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Mahathar Abdul Wahab; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Mohamad Nizar Datuk Seri Mohamad Najib, serta Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.
Semasa majlis makan tengah hari tersebut, wakil daripada organisasi yang terpilih telah dijemput ke pentas untuk menerima cek cura.
Penerima sumbangan bagi tahun 2026 merangkumi pelbagai organisasi yang mewakili keperluan komuniti, iaitu Hospital Kanser Mount Miriam, Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Yatim Dan Cacat Perlindungan Selangor, Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Sai Pandian, Pertubuhan Rumah Anak Yatim Dan Asnaf Kampung Sijankang dan Yayasan Al-Sultan Abdullah.
Dana Perubatan Mazda (MMF) ditubuhkan pada tahun 2015 melalui kerjasama antara Prima Merdu Sdn Bhd dan B. Braun Avitum Renal Services dengan misi utama menyediakan rawatan hemodialisis bagi pesakit penyakit buah pinggang tahap akhir yang menghadapi masalah kewangan.
Selain bantuan perubatan, sokongan MMF turut diperluaskan kepada rumah orang tua, rumah anak yatim, pusat kelainan upaya, dan kemudahan untuk kanak-kanak berkeperluan khas.

Dalam usaha untuk memastikan kelestarian jangka panjang MMF, Bermaz Motor telah memperkenalkan Kad Keistimewaan Mazda (MPC) pada tahun 2018.
Melalui inisiatif ini, yuran pendaftaran pendaftaran sebanyak RM100 akan disalurkan sepenuhnya kepada dana tersebut dan layak mendapat pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Pemegang kad juga akan menikmati manfaat eksklusif seperti diskaun 15% untuk alat ganti tulen Mazda terpilih dan diskaun 5% ke atas caj buruh di pusat pameran dan servis Bermaz Motor serta Prima Merdu Mazda.
Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Tan Sri Ben Yeoh dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan menyatakan bahawa Kejohanan Golf Amal Mazda ini adalah lebih daripada sekadar acara sukan.
Beliau menekankan bahawa ia adalah satu komitmen kolektif untuk meningkatkan taraf komuniti dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang amat memerlukan. - GenGolf
Jemput follow media sosial Gen Golf di Facebook, TikTok dan Instagram!
